Hari nie meraikan Guru Pratikal yang akan menamatkan berkhidmatanya di sekolah bermula sabtu nie. Beliau seorang yang sangat sporting dan disukai ramai kerana keramahannya yang tidak membataskan pergaulan antara senior dan junior dan merentasi berbagai bidang , tidak tertumpu kepada guru yang mengajar subject yang sama dengan beliau.
Pada mulanya saya memang tidak pernah bercakap dengan beliau, maklumlah kerana kekangan masa dan selalunya guru-guru pratikal ni, suka duduk di dalam "geng" masing-masing.
Tetapi berbeza dengan beliau kerana sudi menyapa saya di dalam ruangan facebook , setiap kali saya online , ada saja cerita yang hendak disembangkan.
Rupanya bukannya saya seorang saja, beliau sering menyapa sesiapa sahaja guru yang online ketika itu.
Maka wujudlah geng OTAI FB yang sering bergurau dan mengusik sesama sendiri.
Esok adalah hari terakhir beliau berada di sekolah kami, maka kami telah mengadakan satu majlis ringkas khas untuk En. Roslan Daud bersama-sama OTAI- OTAI FB
Roslan adalah seorang anak muda yang sangat kreatif dan aktif di dalam bidang penulisan sejak di UPSI lagi.
Banyak hasil karya beliau yang diterbitkan oleh majalah-majalah ilmiah seperti contoh-contoh di bawah.
Semoga beliau terus berjaya di dalam bidang penulisan, dan mungkin satu hari nanti, beliau boleh berdiri setaraf dengan sasterawan negara
POHON HARAPAN
Dulu aku pernah menyemai harapan
dengan baja doa
agar benih-benih harapan itu tumbuh subur
meneduh jalan kehidupan yang aku lalui.
Pernah aku terjatuh berkali-kali
dan engkaulah yang memaut tanganku
dan memimpin aku kembali ke denai bebecak masalah.
Sejak itu
harapan itu makin merimbun.
Entah mengapa
aku tidak harap kau jadi pelangi
yang datang cuma sementara
tidak juga seperti matahari
yang memerangi hanya sebentar cuma
tapi aku inginkau jadi seperti udara
yang memberiku bernafas.
Dan kini pohon harapan itu sudah mati
kerana aku sudah dewasa
untuk melalui hujan masalah
dan duri cabaran!
Tapi aku tak pernah melupakan
butir dan bebuah jasamu!
selamanya....
OLEH: ROSLAN DAUD (CERANA MAS)
Kasih tikus, lalat dan semut
dicurahkan kepadanya
walau sedikit bagai setitis embun
tapi beningnya tetap ada
tikus mencicip manisnya darah
yang masih membaluti tubuh itu
lalat tumpang menghurung sama
dan semut ingin menarik tali pusat yang sejengkal cuma.
mereka bertiga merebut hak penjagaan
bayi malang itu
siapakah yang lebih berhak?
di manakah neraca keadilan bisa menyukatnya?
juga, timbanglah dosa pelakunya
biar dia tahu seberapa besar dosanya
adakah sebesar alam?
atau setinggi langit?
setidakpun seluas samudera?
hukumlah dia
hukumlah!
biar dia rasa seksa dan derita anak itu
kerana perit dicerca oleh ulat yang lapar!
Ilham datang pabila membaca berita pembuangan bayi lagi. Menyedihkan.
Sajak ini boleh digunakan untuk mengajar tajuk Pembuangan Bayi.
gunakanlah sebaik mungkin. :)
Sudah puas engkau lalui
Landang dan becak pengalaman
Gelaran juara – akhirnya tertumpas malu
Tergolek dari atas persada nan megah
Yang menjadi rebutan lainnya
Kononnya mahu jadi juara bertahun
Berkokok sang juara di gelanggang kebiadaban
Namun engkau masih tak mengerti
Mengapa engkau perlu turun - menunduk kalah
Tanpa engkau sedari
Yang engkau:
kepatahan taji
kehilangan rentak tari
Dan istana jaya tak lama dihuni.
Mereka, dia dan kamu – yang terkalahkan
Mengepak-ngepak sayap ingin terbang jauh
Jauh dari kesengsaraan dan kesepitan hidup
Yang menganyam perjalanan dan nafas yang dihela
Alahai, engkau bukan unggas yang gagah
Mampu meneroka setiap pelusuk alam
Tetapi engkau hanyalah ayam kampungan
Yang akrab dengan nyamuk kehausan
Kerana engkau selalu mendabik keegoan
di tengah keramaian
dan masih terhimpun di laman itu
diajak menyaksikan peraduan berikutnya
mencari sang juara yang bukan lagi milik kamu!
Bukit Pelali
13 Disember 2009
** Sajak ini telah disiarkan di ruangan Sanggar Kreatif, akhbar Berita Harian pada 27 Disember 2009.
Esei
Sajak
Dewan Kosmik, fiksyen sains
Cerpen