Saya lah guru dan ibu bapa paling setuju kalau perkara ini berlaku. Saya tak perlu tension-tension bila anak mula naik darjah enam, nak memikirkan dimana tempat tuisyen yang bersesuaian. Ada sesetengah ibu bapa mulai anak darjah satu dah menghantar mereka pergi tuisyen. Dunia sekarang semuanya mengejar untuk mendapat keputusan yang cemerlang tanpa memikirkan anak tersebut memerlukan ruang untuk belajar bersosial dan berinterasi sesama sendiri ( dlm istilah lain - bermain bersama rakan sebaya) dan melakukan aktiviti zaman kanak-kanak mereka.
Dah lah masa mereka sangat padat dengan jadual ke sekolah kebangsaan, di sebelah petang ke sekolah agama dan selepas maghrib mengaji al-quran. Tup-tup selepas pukul 8.00 malam , mereka menghantar pula anak ke kelas tuisyen. Masa bila mereka hendak menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru mereka. Mereka tidak diberi peluang untuk mengulang-kaji pelajaran disebabkan kekangan waktu.
Memetik petikan dari akhbar Utusan Malaysia, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berkata bahawa Kementerian Pelajaran perlu memastikan murid sekolah rendah benar-benar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) terlebih dahulu sebelum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.
Ini ternyata benar apabila di dalam sistem pendidikan rendah di negara kita sendiri, Tahap Satu (Tahun 1 - 3) lebih menekankan aspek penguasaan 'Membaca, Menulis dan Mengira' (3M) manakala Tahap Dua (Tahun 4 - 6) pula lebih menekankan aspek menaakul sesuatu maklumat dan mengolahkannya kepada sesuatu maklumat lain (Secondary Point of View). Andai kata seseorang murid itu 'berjaya' pada Tahap Satu dan Dua tersebut, maka peperiksaan UPSR-lah yang akan mengujinya.
Namun apa yang menyedihkan apabila ia berbentuk akademik semata-mata - di atas kertas - dan hanya ada hitam putih subjek pendidikan; tidak bersifat holistik.
Sebagai contoh, ada pelajar pada hari ini di mana sekolahnya mengetepikan subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 6 untuk diajar pada waktu kelas,serta, mengecualikan para pelajar Tahun 6 dari penglibatan aktif Ko-kurikulum yang digantikan kepada kelas tambahan, hanya semata-mata mahu menumpukan kepada subjek yang terlibat dalam ukuran UPSR seperti Matematik atau Sains. Mahu mengejar imbuhan kementerian atau menambah 'gah' pada nama sekolah agaknya guru-guru di sana.
Benar, kejayaan pelajar adalah sesuatu yang sangat beharga bagi seorang guru. Namun saya sebagai guru tidak mengimpikan kejayaan akademik semata-mata terhadap anak murid saya. Saya cuak melihat apabila pelajar hilang rasa hormat menghormati antara satu sama lain. Pengalaman saya sendiri, bukan semua pelajar yang dilabelkan 'cemerlang' baik tingkah lakunya. Ada yang berani menegur guru seperti guru tersebut tidak layak memimpin mereka, ada yang memperlekehkan ilmu yang guru ada, ada yang ketawa di belakang , apabila guru tersilap cakap. Ada yang mengutuk-gutuk guru, seolah-olah guru tersilap mencurahkan ilmu. Di manakah nilai-nilai yang ada di dalam subjek lain yang boleh diaplikasikan di dalam kehidupan seharian seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.